Senaman bantu pesakit diabetes
SANA-SINI orang bercakap mengenai kepentingan bersenam dan rasanya semua orang tahu manfaat yang diperoleh daripada pergerakan badan itu. Soal pengurusan kesihatan memang boleh menjadi perkara remeh dan payah jika tiada kesungguhan.
Memang perkara ini berulang kali dibincangkan, tetapi masih ramai tidak tahu keperluan asas sebelum bersenam. Menurut buku panduan yang diterbitkan Unit Pemakanan, Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, beberapa persediaan perlu diambil kira.
Paling penting ialah meminta nasihat doktor jika anda berusia 35 tahun dan tidak biasa bersenam, mempunyai masalah kesihatan dan mengalami masalah berat badan berlebihan (sebanyak 20 peratus lebih daripada berat badan unggul).
Bukan mudah untuk membakar kalori yang dimasukkan ke dalam badan. Sekeping roti canai mengandungi 300 kalori memerlukan sekurang-kurangnya 120 minit berjalan (lelaki) atau 86 minit (perempuan) untuk dibakar.
Sepinggan mi goreng (859 kalori) memerlukan seseorang lelaki berlari 88 minit atau 64 minit bagi perempuan untuk membakar kalori tadi.
Namun inilah realitinya. Jadi, ini sebabnya kita perlu bijak menseimbangkan antara pengambilan makanan dan aktiviti harian supaya tidak timbul masalah berlebihan berat badan.
Lebih parah jika berat badan berlebihan turut dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan kencing manis.
Dalam ghairah untuk memulakan lembaran baru dalam hidup, beberapa peraturan mesti dipatuhi, iaitu jangan bersenam apabila:
Badan terasa tidak sihat
Berasa sakit sendi dan kaki
Sejurus selepas makan (mesti berehat sekurang-kurangnya dua jam)
Apabila cuaca terlalu panas
Mandi air panas sejurus selepas bersenam
Ada pendapat mengatakan, bersenam hanya memberi manfaat kepada badan jika ia mampu meningkatkan kadar degupan jantung atau nadi kepada 120 hingga 150 denyutan seminit. Tidak kira apa senaman dipilih, pastikan ia selamat dan dilakukan mengikut kemampuan anda.
Baik bagi orang yang sihat atau mempunyai penyakit, asasnya adalah sama iaitu kesederhanaan. Senaman boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu senaman regangan, aerobik dan rintangan.
Contoh senaman regangan adalah seperti yang dilakukan setiap kali sebelum senaman dimulakan. Senaman regangan mudah adalah seperti meregangkan leher (mengiringkan kepala ke kanan atau kiri beberapa saat), bahu (menarik tangan kanan ke arah kiri sambil tangan kiri mengampu di bawah siku kanan), betis dan paha.
Senaman aerobik pula lebih cergas sifatnya seperti berbasikal, berjalan, berjoging, berenang dan menari.
Senaman rintangan pula bertujuan menguatkan anggota tertentu seperti duduk di kerusi sambil mengangkat kaki ke paras kerusi atau mengangkat dumbel.
Pengurus Fisioterapi Institut Jantung Negara, Datin Maimunah Johari, berkata pesakit diabetes perlu menjalani kehidupan aktif dan bersenam setiap hari sekurang-kurangnya selama 30 minit yang mesti dijadikan rutin harian.
Ia penting untuk menurun dan mengawal paras gula dalam darah. Namun, perkara ini jarang diberikan perhatian oleh kebanyakan pesakit. Tahap senaman pula perlu sesuai dengan umur pesakit.
Bagi pesakit muda dan mengalami masalah berat badan, Maimunah menyarankan supaya bersenam selama sejam setiap hari. Manakala bagi pesakit diabetes yang mempunyai berat badan normal, bersenam 30 minit sehari memadai.
“Pesakit yang bekerja di pejabat juga perlu berusaha untuk bergerak aktif dengan banyak berjalan dan bangun ketika menjawab panggilan telefon. Apabila balik ke rumah, cari peluang untuk berjalan keliling kawasan perumahan sebelum diikuti dengan aktiviti senaman.
“Pesakit juga mesti mematuhi jadual pengambilan ubat. Jangan makan ubat dengan perut kosong kerana jika pesakit bersenam pada hari itu ia boleh menimbulkan masalah hipoglisemia. Pesakit boleh pitam ketika bersenam,” katanya.
Sementara itu, pesakit berumur melebihi 60 tahun dan sudah lama menghidap diabetes pula perlu memeriksa kaki setiap kali sebelum memakai kasut dan masuk tidur.
Ini kerana kebanyakan pesakit diabetes tua mengalami masalah kemerosotan otot dan deria sentuh menjadi kurang sensitif.
Masalah ini menyebabkan mereka tidak sedar kaki melecet (akibat kasut ketat) dan luka itu bukan saja lambat sembuh, tetapi mudah melarat jika tidak diberikan rawatan rapi. Ini juga sebabnya ramai pesakit diabetes terpaksa dipotong kaki.
Malah, mereka juga disaran supaya membawa teman, sama ada ahli keluarga atau jiran, ketika melakukan senaman untuk mengelakkan kemungkinan tidak diingini.
Bagi golongan yang dikategorikan sebagai ‘atas pagar’ (paras gula dalam darah agak tinggi, tetapi belum dikategorikan sebagai pesakit kencing manis) dan mempunyai sejarah keluarga mengalami masalah kegagalan buah pinggang dan kencing manis, risiko penyakit boleh direndahkan dengan bersenam dan pada masa sama paras gula boleh dikurangkan tanpa perlu mengambil ubat.
Dalam risalah terbitan Perkhidmatan Fisioterapi Kementerian Kesihatan menggariskan beberapa perkara untuk pesakit diabetes, iaitu:
Mendapatkan nasihat doktor
Memakai kasut yang sesuai
Minum air segelas
Bersenam selepas satu atau dua jam selepas makan
Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit selepas suntikan insulin
Bawa bekalan air dan gula-gula (langkah berjaga-jaga jika berlaku ada tanda hipoglisemia)
Jangan bersenam pada lewat petang atau badan berasa tidak sihat
Senaman mestilah dimulakan secara berperingkat mengikut turutan betul dan disertakan dengan aktiviti regangan bagi mengelak kecederaan otot dan sendi. Anda mesti berhenti bersenam jika mengalami tanda:
Lemah anggota
Menggeletar
Pening
Banyak berpeluh (berlebihan)
Penglihatan menjadi kabur
Rasa berdebar-debar
Lapar
Berasa terlalu letih
Selepas bersenam, jangan terus duduk, sebaliknya berjalan perlahan-lahan untuk menyejukkan badan. Ketika ini pesakit juga tidak digalakkan terus mandi, sebaliknya minum air secukupnya bagi menggantikan air yang hilang melalui peluh ketika bersenam.
Ketika berehat di rumah, pesakit diabetes masih boleh melakukan senaman kaki ringan, iaitu dengan memusingkan pergelangan kaki mengikut putaran jam dan sebaliknya. Buat beberapa kali dan ulang jumlah sama untuk kaki sebelah lagi.
Selepas itu, gerakkan jari kaki ke atas dan bawah. Buat sekurang-kurangnya 10 kali untuk setiap arah. Senaman ini boleh dilakukan sambil duduk atau baring.
Kemudian, berdiri dan angkat tumit. Jika mampu boleh buat serentak untuk kedua-dua belah kaki tetapi jika tidak, buat sebelah kaki dulu. Jika anda mengalami ulser atau luka pada kaki, jangan lakukan senaman berat. Memadai jika mengayuh basikal saja.
Mengapa perlu bersenam? Bersenam bukan saja dapat menyihatkan, menjaga berat badan dan melancarkan aliran darah, tetapi yang lebih penting bagi pesakit diabetes ialah ia mampu meningkatkan kadar penyerapan insulin dan mengawal paras gula dalam darah.
Setiap manusia memerlukan sepasang kaki yang sihat dan sempurna untuk menjalankan tugas seharian yang menjamin kehidupan. Begitu juga kepada setiap pesakit Diabetis,kaki adalah pancaindera yang amat penting memandangkan 95 % pesakit Diabetis adalah DM Jenis 2.
Penjagaan kaki adalah penting untuk mengawal dan mencegah komplikasi pada pesakit diabetes. Infeksi kulit oleh kulat dan bakteria terutamanya di celah-celah jari kaki sering terjadi pada penghidap diabetes kerana peredaran darah di kaki pesakit mungkin terganggu. Kehadiran glukos dalam air peluh menyediakan persekitaran yang sesuai untuk pembiakan bakteria. Dengan itu, pesakit diabetes perlu memeriksa kaki mereka dengan kerap dan kaki mereka akan diperiksa setiap kali datang ke klinik.
Tanda-tanda kaki diabetes
Kehilangan deria rasa apabila kaki mengalami infeksi atau kecederaan.
Kudis mengambil masa yang lama untuk sembuh.
Kaki menjadi panas atau sejuk yang berpanjangan.
Kebas atau kelemahan otot-otot badan.
Perubahan warna dan suhu kaki
Kehilangan bulu roma kaki
LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN
Kaki perlu dibasuh setiap hari dengan menggunakan sabun
Keringkan kaki dan celah jari dengan tuala lembut
Gunakan losen pelembab atau krim pada kaki bagi mengelakkan kulit dan tumit menjadi kering atau merekah
Periksa kaki dengan teliti di tempat yang terang
Periksa kawasan di antara jari kaki dan gunakan cermin untuk periksa tapak kaki
Cari rekahan pada kulit, luka-luka, calar-balar, melepuh, kudis, bisul atau perubahan warna pada kulit kaki
Segera mendapatkan nasihat perubatan sekiranya kaki luka atau keadaan kaki menjadi teruk.
Sentiasa menggunakan alas kaki sama ada di dalam ataupun di luar rumah
Gunakan sarung kaki yang dapat menyerap peluh iaitu dari jenis benang bulu dan kapas. Pastikan ianya tidak terlalu ketat kerana ini akan menghalang peredaran darah di kaki
Tukar sarung kaki setiap hari
Pakailah kasut yang sesuai dan selesa dipakai
Potong kuku jari kaki secara lurus melintang dan tidak melengkung atau terlalu pendek. Kemaskan kuku dengan mengikis pinggir kuku untuk menumpulkan tepi yang tajam
MOK
No comments:
Post a Comment